Skip to main content

Sesi Libat Urus FPTT UTeM bersama FPP UiTM

Pada 8 September 2025 yang lalu, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawan (FPTT), Universiti Teknikal Malaysia Melaka telah menerima kunjungan daripada Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA. Program ini berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari bertempat di Bilik MBA 4, FPTT.

Sesi libat urus ini dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi kedua-dua fakulti. Dari pihak FPTT, antara yang hadir ialah Dekan FPTT, Profesor Dr. Mohd Syaiful Rizal bin Abdul Hamid, Ketua Jabatan Pengurusan Teknologi, Ts. Dr. Nurhayati binti Kamarudin, Penyelaras BTMM, Dr. Amizatulhawa binti Mat Sani, Prof. Madya Ts. Dr. Mohammed Hariri bin Bakri, Timbalan Pendaftar Encik Azhar bin Mohd Salleh, Penolong Pendaftar Pn. Norazah binti Mohamed Yazid, serta beberapa orang pensyarah FPTT. Manakala delegasi FPP UiTM pula diketuai oleh Dekan fakulti tersebut bersama barisan pentadbiran kanan mereka.

Tujuan utama pertemuan ini adalah untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik, selain meneroka peluang kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan dan penglibatan komuniti. Pada masa yang sama, ia juga menjadi platform perkongsian hala tuju, di mana kedua-dua fakulti dapat bertukar pandangan serta berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan fakulti dan pembangunan program akademik.

Sepanjang sesi ini, perbincangan dijalankan dalam suasana santai tetapi penuh bermakna. Banyak idea, cadangan dan pengalaman dikongsi bersama yang membuka ruang kepada potensi kolaborasi lebih luas pada masa akan datang.

Antara impak positif daripada program ini termasuklah pengukuhan hubungan akademik antara UTeM dan UiTM, pembukaan peluang kerjasama dalam penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran, pengajaran rentas institusi serta peluang pembangunan pelajar. Pertemuan ini juga memberikan inspirasi baharu kepada kedua-dua pihak dalam usaha memperkukuh kecemerlangan pengurusan fakulti masing-masing.

Secara keseluruhannya, sesi libat urus ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara dua fakulti, malah menjadi asas penting kepada kerjasama berterusan dalam bidang akademik dan pengurusan. Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih gemilang dalam dunia pendidikan tinggi negara.